Skuad futsal Johor Darul Ta’zim (JDT) melengkapkan kuota import bagi menghadapi saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2023 apabila telah merekrut pemain kelahiran Iran, Abdul Rahman Sarani.

Kemampuan hebat dimiliki Abdul Rahman dapat disaksikan para penyokong ketika JDT bangkit daripada ketinggalan empat gol untuk mengikat Pahang Rangers pada aksi persahabatan di Shah Alam malam tadi.

Pernah dipanggil beberapa kali untuk latihan pusat skuad kebangsaan Iran sekitar tahun 2015 hingga 2017, Abdul Rahman mewakili pasukan Liga Super Iran iaitu Ghand Katrin Amol yang menamatkan saingan musim ini ditangga kesembilan.

Abdul Rahman Sarani yang memiliki kelebihan terutamanya menerusi rembatan padu kedua-dua belah kakinya dan dilihat begitu lincah turut pernah menyarung jersi beberapa kelab Liga Super Iran lain seperti Moghavemat Alborz, Farsh Ara Mashhad dan Zandi Beton Kelardasht.

Kredit Foto: JOHOR Southern Tigers

Selain itu, beliau yang menyertai JDT bagi mengisi kuota Asia juga berkelana ke Eropah untuk beraksi dalam saingan Liga Futsal Kazakhstan dan Georgia.

Abdul Rahman menjadi pemain import kedua dibawa masuk oleh JDT dimana sebelum ini berjaya mendapatkan khidmat Caio Cesar Garcia Rego dari Brazil.

Sementara itu dalam perkembangan pra-musim, JDT berada di landasan terbaik untuk memburu kejuaraan dalam penampilan sulung apabila mencatatkan lima kemenangan iaitu ketika bertemu Penang (3-1), Shah Alam City (3-1), Kuala Lumpur (4-0), ATM (9-3) dan Kedah (7-0).

Manakala malam tadi, skuad kendalian Juan Antonio Miguel Garcia itu mempamerkan kebangkitan luar biasa untuk mencatatkan keputusan seri 5-5 bertemu gergasi futsal tanah air, Pahang Rangers.